SUPP wajar beri perhatian tuntutan kaum Bidayuh


Oleh Dr Jeniri Amir

2010/04/07

JARANG-jarang kaum Bidayuh bersuara lantang menuntut sesuatu bagi kaumnya. Jadi, jika mereka bersuara lantang menuntut sesuatu, pasti ada sesuatu yang betul-betul tidak disenangi mereka. Kaum Bidayuh sudah lama bersabar dan diam, tetapi isu membabitkan lantikan pengerusi Majlis Perbandaran Pedawan (MPP) yang selama ini diberi kepada pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyebabkan masyarakat Bidayuh menuntut agar jawatan terbabit diberikan kepada wakil daripada komuniti itu.

MPP yang bertanggungjawab terhadap kawasan seluas 1,431.82 persegi mempunyai komposisi penduduk terdiri daripada kaum Melayu, Bidayuh dan Cina berjumlah sekitar 350,000 orang. Isu siapa yang patut mengisi kekosongan jawatan itu timbul sesudah Tan Joo Phoi yang sebelum itu menjadi pengerusinya daripada SUPP dilantik sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri dalam rombakan kecil Kabinet negeri 2 April lalu. Komuniti Cina daripada beberapa kawasan perbandaran berkenaan mendesak supaya jawatan itu terus diberi kepada wakil kaum Cina, manakala kaum Bidayuh meminta agar ia diberi kepada kaum mereka. Antara nama dikemukakan kedua-dua pihak ialah Datuk Alfred Yap, bekas Menteri Muda yang kalah dalam pilihan raya negeri 2006, bagi pihak kaum Cina, dan Dr Jerip Susil, Adun Bengoh daripada kaum Bidayuh.

Masyarakat Bidayuh yang berjumlah 170,000 atau 8 peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak terkenal dengan sikap sabar, tekun, setia dan menghormati kaum lain. Dayak Bidayuh terbahagi kepada empat sub etnik, iaitu Bukar Sadong, kebanyakannya di hulu Sadong dan Serian; Bipuruh, kebanyakannya di kawasan pedalaman daerah Kuching; Bau-Jagoi kebanyakannya di daerah Bau, dan kumpulan terkecil, Selako-Rara di daerah Lundu.

Dalam politik Sarawak, kaum Bidayuh menyertai semua parti politik, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat. Kini, ada dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kaum Bidayuh mewakili SUPP, dan seorang lagi Ahli Parlimen.

Dari satu segi, tuntutan komuniti Bidayuh itu memang wajar. Jika SUPP ikhlas dan benar-benar berpegang pada dasar mengutamakan kepentingan pelbagai kaum yang diperjuangkannya, SUPP perlu memberi laluan kepada wakil kaum Bidayuh untuk menjadi pengerusi MPP. Wakil kaum Cina sudah menjadi pengerusinya sejak 14 tahun lalu, jadi sudah sampai masanya konsep pengagihan kuasa diamalkan sekarang.
Jangan sampai kaum Bidayuh menganggap mereka dipermain-mainkan SUPP selama ini. Atau mereka berasa bahawa sumbangan dan sokongan mereka tidak diiktiraf. Tahap kesabaran kaum Bidayuh juga ada batasannya. Mereka tidak menuntut sesuatu keterlaluan; sebaliknya tuntutan mereka ada justifikasi kukuh.

Sebenarnya, sebelum dinaik taraf pada 1996, MPP dikenali sebagai Majlis Daerah Luar Bandar Kuching yang ditubuhkan pada akhir 1956. Dari 1957 hingga 1961, pengerusi majlis ialah pegawai daerah, manakala dari 1962 hingga 31 Oktober 1981 ia dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan. Namun mulai November 1981, pengerusi dilantik oleh pihak kerajaan negeri, dengan calon dicadangkan oleh parti politik.

Sejak itu, pengerusinya ialah kaum Cina daripada SUPP. Selain MPP, Datuk Bandar atau pengerusi Majlis Bandar raya Kuching, Miri atau Sibu juga ialah kaum Cina. Adakah permintaan pemimpin dan komuniti Bidayuh supaya kerusi itu diserahkan kepada wakil Bidayuh sesuatu yang melampau di pihak pengerusi SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam?

Dalam mempertimbangkan keputusannya, beliau perlu mengambil kira kawasan diliputi MPP termasuk dua kawasan Dewan Undangan Negeri – Opar dan Bengoh, yang majoriti pengundinya ialah Bidayuh. Dalam pilihan raya lalu, wakil BN itu menang dengan majoriti agak besar.

Kini pun sudah ada semacam amaran jika kerusi penting MPP itu tidak diserahkan kepada wakil Bidayuh ada kemungkinan kerusi berkenaan, dimenangi pembangkang dalam pilihan raya yang akan datang.

Survival SUPP pada masa depan sebahagiannya bergantung pada sokongan masyarakat Bidayuh. George Chan perlu menangani isu ini dengan teliti, segera dan bijaksana, bak menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak. Beliau perlu menerima hakikat bahawa kaum Bidayuh sudah banyak berkorban dan memberi sokongan kepada SUPP selama ini.

Tetapi apakah ganjaran yang diberi kepada pemimpin setia dan komited seperti Ahli Parlimen Serian, iaitu Datuk Richard Riot? Mengapakah George Chan tidak mempertimbangkan untuk memberi sebarang jawatan penting, termasuk Menteri Muda kepada seorang daripada dua Adun kaum Bidayuh?

Sebaliknya, jawatan itu diberi kepada Adun Iban dalam SUPP, iaitu Datuk Francis Harden. Adakah George Chan menganggap tanpa sokongan Bidayuh pun, SUPP dapat bertahan dalam politik Sarawak. Dalam keadaan ia sudah kehilangan lapan daripada 19 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri lalu, beliau perlu lebih berhati-hati dalam perhitungannya membabitkan kaum Bidayuh kali ini.

 

Leave a comment