Lun Bawang 2


Kaum Lun Bawang yang dahulunya lebih dikenali sebagai Kaum Murut (bererti orang buruk atau “dregs” – gelaran yang diberi oleh Raja Brooke, yang mana pemerintahannya ingin supaya kaum ini pupus daripada permukaan bumi Borneo : “Biarlah mereka mati ….. Lagipun mereka ibarat kasut lama yang tidak ada gunanya lagi….Negeri ini akan lebih aman jika kaum Murut dibiar pupus”. (Jungle Fire, Drunk Before Dawn, A New Dawn Over Sarawak)) merupakan etnik pribumi yang menduduki kepulauan Borneo sejak berkurun-kurun lamanya. Menurut Tom Harrison (1959) dan S. Runciman (1960), kaum ini adalah yang terawal menetap di kawasan pergunungan di pertengahan Pulau Borneo.

Masa kini sebahagian besar kaum ini masih tinggal di Kalimantan Indonesia; 25,000 di Kalimantan, 2,000 di Sabah (dikenali sebagai Lundayeh), lebih 300 di Brunei (Crain 1978) dan lebih kurang 15,000 di Negeri Sarawak (Sarawak Statistic Dept. 1980). Di Negeri Sarawak, mereka tinggal di Bahagian Limbang, terutama sekali di Daerah Lawas.

Pemerintahan Brooke menganggap masyarakat Lun Bawang sebagai etnik yang paling teruk dan sangat berbahaya; orang pemabuk yang terhebat; rumah panjang yang paling kotor (Sarawak Gazette 1936), walaupun adat dan amalan tradisinya tidak jauh berbeza daripada etnik-etnik lain yang terdapat di Sarawak, dan telah diperakui bahawa Sultan Brunei yang pertama ialah seorang Lun Bawang dari keturunan Upai Semaring. Oleh sebab ketidakperhatinan pemerintahan Brooke (Berbagai penyakit merebak) dan hidup yang terpengaruh oleh pelbagai kepercayaan animisme dan pantang larang, bilangan penduduk kaum ini menurun daripada antara 20,000 kepada 5,000 orang dalam tahun 1907 dan kepada 3,000 orang pada tahun 1937 (Laporan Pegawai-Pegawai Daerah pada masa itu – Sarawak Gazette; Drunk Before Dawn). Keadaan orang Lun Bawang terus menyedihkan sehingga seorang Pegawai Daerah melaporkan, kaum Lun Bawang sudah “facing extinction”.

Dalam keadaan yang begitu teruk ini, apabila mubaligh-mubaligh Kristian dibenarkan (pada awal tahun 1920-an tidak dibenarkan) ke kawasan Trusan dalam dekad 1930-an dan menyebarkan ajaran-ajaran Kristian, orang Lun Bawang secara keseluruhannya meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka dan menganut agama Kristian. Mubaligh Kristian dari pertubuhan Borneo Evangelical Mission dari Australia yang bertanggungjawab membawa perubahan kepada masyarakat Lun Bawang sehingga tertubuhnya Sidang Injil Borneo (Evangelical Church of Borneo) selepas Perang Dunia Kedua.

Perubahan yang didatangkan oleh ajaran agama Kristian amat memeranjatkan Raja Charles Vyner Brooke sehingga beliau berkata kepada dua orang mubaligh yang berjumpa dengan beliau ketika lawatannya ke Lawas dalam tahun 1940 :  “Kamu telah membawa perubahan kepada kaum Murut (Lun Bawang) dalam masa tiga tahun saja dibandingkan dengan apa yang pihak kerajaan lakukan dalam masa 40 tahun”

Akibat perubahan ini, keadaan kehidupan kaum Lun Bawang bertambah baik dan teratur. Segala kepercayaan, pegangan animisme dan pantang larang turun temurun ditinggalkan serta-merta sehingga menyebabkan pelupusan beberapa adat resam yang masih boleh digunakan. Perubahan ini juga melibatkan aspek kesihatan, akademik dan sosio-ekonomi. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan populasi kaum Lun Bawang.

Dalam pada itu, Persatuan Lun Bawang Sarawak ditubuhkan untuk menghidupkan kebudayaan dan adat resam yang boleh digunakan selaras dengan kepercayaan agama Kristian yang dianuti.

Kaum Lun Bawang juga telah berusaha supaya kaum Lun Bawang tidak lagi digelar sebagai “Murut” sepertimana yang telah dibuat oleh regime Raja Brooke dalam konsep pemerintahan “divide and rule”.

Penggunaannya amat sensitif seolah seseorang yang menyebut perkataan ini masih menganggap kaum Lun Bawang sebagai bangsa / kaum yang terhina, sangat berbahaya dan terburuk di Borneo. Oleh itu, biarlah perkara ini menjadi sejarah dan tidak wajar dibangkit-bangkitkan, apatah lagi kita kini dalam Kerajaan Malaysia telah hidup berharmoni dan menghormati satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa atau kaum.

Perkara lampau ini kini telah menjadi sejarah selepas pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Sarawak (Dewan Undangan Negeri pada 6.5.2002)– dengan lulusnya Interpretation (Amendment) Bill 2002, iaitu pindaan kepada Interpretation Ordinance 1958) supaya kaum Lun Bawang pada hakikatnya dipanggil sebagai Lun Bawang, salah satu kaum bumiputra di Sarawak.

 

Leave a comment